Thursday, September 22, 2005

Selamat Hari Lahir Siti FAtimah

Dia sahabatku
hari ini hari lahirnya
hari bersejarah buatnya

dia sahabatku
yang pernah bersusah payah bersama
dia sahabatku
dulu kini dan selamanya

Fatimah..percayalah
dirimu tak pernah luput dalam ingatanku
kerana kau sahabatku

selamat hari lahir sahabat..moga bahagia di samping hubbymu...:)

yalin 05

Wednesday, September 21, 2005

Aku hanya aku!

Dulu dalam diri ini tak pernah terlintas untuk bergelar guru. Sungguh! Aku hanya ingin menjadi manusia yang boleh berbakti pada agama, nusa dan bangsa. Ahaks!! Sebenarnya aku ingin menjadi dot..dot..dot. ahaks!! Biarlah ia menjadi rahsiaku. Untuk apa aku hebohkan melainkan kalau aku dapat mengapainya. Pasti seluruh buana bertalun dengan suara kegembiraanku.Namun yang pasti aku bersyukur dengan apa yang aku ada. Sungguh!! Walau tak dapat menandingi kejayaan dan kecemerlangan insan lain, sekurang-kurangnya ada afalku dan kebolehanku yang tak ada pada orang lain. Jangan tak percaya kalau aku katakan ada insan yang ingin menjadi seperti aku. Siapa lagi kalau bukan mereka anak muridku. Mereka kata aku serba boleh sedangkan aku mendapati diriku serba kekurangan. Sungguh kadangkala aku ingin menjadi insan lain yang lebih berkarisma dan berjaya dari diriku sendiri. Namun semilir kesedaran menyentuh atmaku. Aku adalah aku! Seharusnya aku bangga menjadi diriku sendiri. Untuk apa aku ingin menjadi insan lain. Membanding dia memperkecilkan peribadi. Sedangkan penciptaan manusia itu adalah tidak sia-sia. Aku jua manusia maka penciptaanku bukan untuk sia-sia. Aku ada kehebatan yang perlu aku cungkil keluar. Setiap insan ada kekurangan dan kelebihan. Benar! Itu Benar! Maka aku ingin mencungkilnya bukan untuk keangkuhan atau mendabik dada. Tapi sebagai tangkal untuk aku membina jati diri dan semangat untuk menyusuri hidup yang semestinya bersimpang siur ini.
Oh ya hari ini aku mengajar puteri-puteri di HG. Aku gembira mengajar mereka walau dulu diri ini gerun untuk melangkah ke sana. Kini di hatiku tercalit sayang buat mereka. Sungguh!! Mungkin talian akidah ini lebih mengeratkan kami dari talian darah. Seringkali aku tercuit dengan telatah mereka. Tersenyum membaca hasil tugasan yang aku berikan pada mereka. Pasti akan kuingat istilah “ Kancil masuk kampung” sampai bila-bila. Ahaks!! Kalian amat menyenangkan dan hari ini aku dikerumuni mereka hanya kerana seekor katak! Mereka ingin aku melukis katak untuk mereka!! Ahaks!!

20 September 2005
catatan insanYalin

Tuesday, September 20, 2005

Bicaraku...

Sebuah Catatan Dari Penulis Jalanan

Assalamualaikum. Puas aku memikirkan tajuk yang sesuai. Layakkah aku bergelar penulis?.Hanya senyuman menghiasi bibir tatkala jemari menari di atas papan kekunci menulis catatan ini. Memang aku sedang mencatat sesuatu, memang aku sedang menulis tapi bukan menggunakan pena hanya menekan papan kekunci. Maka dengan perasaan rendah dirinya bersulam sedikit keseganan aku menobatkan diriku sebagai penulis. Bukan penulis agung tapi hanya penulis jalanan. Kerana perjuanganku baru sahaja bermula.

Sejak dua menjak ini kepalaku beku dalam penghasilan karya. Seringkali terasa diri ini berada jauh dari insan lain.Terasa letih mengejar kepetahan dan kebijaksanaan penulis lain yang mula memintal benang kata menjadi kain sutera bicara yang halus buatanya. Aku hanya pandai menganyam mengkuang kata menjadi tikar kata. Betapa kalau mahu dibandingkan di antara hasilan bicara sutera dengan tikar kata yang manakah lebih halus dan ingin dibaca? Tentu sutera bicara dari mengkuang kata. Tentu sahaja aku ketinggalan jauh, jauh, tersangat jauh.

Namun aku pasti kegigihan itu buahnya kejayaan. Mana bisa kuputuskan semangat dan impian mengunung ini begitu sahaja. Aku ada misi sendiri dalam bidang ini. Aku ada anganku sendiri dalam ruang ini. Bukan ingin menjadi terkenal walau dulu segelumit rasa itu pernah menapak dalam jiwaku. Bukan untuk menjadi sasterawan negara kerana aku sedar aku tak layak dinobatkan sebegitu. Hadirku di arena penulisan ini bukan mencari nama tapi hanya menyalur rasa dan pandangan kerdilku pada masyarakat.

Mata pena lebih tajam dari mata pedang. Aku mengkaji sejarah. Aku lihat bagaimana semangat nasionalisme menapak dalam jiwa mereka-mereka yang memperjuangkan tanah air. Utusan Melayu, Warta Malaya, Warta Negara, Majlis, Fajar Sarawak, Lembaga Melaya antara akbar yang memberi kesedaran kebangsaan pada rakyat dalam mengkritik British. Tentu sahaja kalian kenal dengan Pak Sako atau nama benarnya Ishak Haji Muhammad dalam novelnya Anak Mat Lela Gila yang menceritakan tentang semangat menentang penjajah oleh anak muda tempatan, yang sangup menolak kesenangan demi maruah bangsa serta menghargai warisan bangsa sendiri.

Aku bukan berkeinginan berbicara tentang bangsa, cukup sudah 13 Mei melakar tragedi, tak ingin kuulangi peristiwa tragis itu. Aku hanya bercerita tentang kuasa pena mereka. Kuasa pena yang memberi kesedaran , menyuntik semangat cintakan negara. Di sini segalanya bermula. Aku jatuh cinta dengan kuasa yang ada pada pena. Aku cuba menakluki ilmunya. Ternyata bukan semudah yang disangka. Bukan sesenang yang dijangka.

Aku mula memiliki satu buku cacatan yang aku namakan ‘Sentuhan Tinta’ aku mula melakar bicara di dalamnya yang pasti lakaran itu lebih pada cinta, lebih pada ilusi. Aku tewas dalam nafsu sendiri. Lebih enak berbicara tentang cinta daripada cita-citaku yang sebenar. Lama juga aku melayan gelodak asmara pena. Tersasar dari tujuan asal. Terlonjak dari posisi yang cuba ku tetapkan. Aku berbicara tentang perasaan, berbicara tentang kasih sayang sehingga ada insan hadir menasihati diri. Bahasa jiwaku amat tinggi katanya. Bahasa jiwaku itu mana bisa mendapat perhatian. Kerana mereka tak tega berbicara tentang cinta. Mereka lebih berminat berbicara tentang masyarakat tentang hal semasa. Tentang hal yang lebih penting. Telah aku katakan kuasa pena itu jangan di salah guna. Syukran pada dia yang hadir melontar pandangan buatku.

Memang tak salah melakar rasa serta cinta kerana fitrah manusia memang dahagakan cinta, kehausan sayang walaupun kadangkala diri cuba menafikan. Cuba menuturkan ‘Ada apa dengan cinta?’ yang pasti ada sesuatu yang tak terungkap ada sesuatu yang tak terucap andai kau jatuh dalam lubang itu. Aku mula sedar. Aku tak pantas berbicara lagi tentang cinta hingga cerpenku semua bertemakan cinta berlagukan gurindam rindu dan sayang.Boleh dikira cerpenku bersulam ingatan terhadap ad-din. ‘Hairan Si Malaikat Maut’ dan ‘Natijah Dari Sebuah Penderhakaan’ cerpen bercorak ingatan dariku. Aku bersyukur bila ada seorang insan memberi pandangannya tentang cerpenku ini. Katanya kalau aku perincikan lagi tentang punca kesasaran Zakuan (watak utama dalam cerpen itu) ia akan menjadi lebih menarik. Tapi nasihatnya tidak aku endahkan. Aku masih alpa memperincikan watak Zakuan dalam cerpenku itu. Aku masih lemas dengan cerpen cintaku. Masih asyik masyuk melayan rasa cinta yang berbunga di dalam jiwa walaupun aku belum pernah lagi bercinta. Kelakar bunyinya kan?

Asalnya ingin aku lakarkan kisah cinta bertemakan serta bercirikan islam. Kerana padaku remaja sekarang terlampau kecintaannya pada mahkluk melebihi pencipta. Aku inginkan cinta hadir dalam peraturan dalam rahmat-Nya. Maka aku lakarkan dalam bicara cerpen agar muda mudi bisa mendapat cinta tanpa membuka hijab, tak perlu berjalan berlenggang lengguk, bersuara manja serta mengoda untuk mendapat cinta lelaki. Cukup hanya dengan menjaga ad-din, menjaga pergaulan dan pemakaian. Namun aku tak pasti adakah aku sudah berjaya atau masih tergolong dalam mereka yang tertewas.Tewas dalam erti kata mencapai matlamat sendiri.

Aku masih ingin berbicara…

Aku tak tahu sama ada bicaraku ini mendapat perhatian dari kalian. Cuma yang aku tahu sekali aku memulakan bicara biar aku yang mengakhirinya. Walaupun kadangkala aku kehausan bicara tapi bila jemari bersentuh papan kekunci ini ada sahaja benda yang ingin aku coretkan. Aku hanya penulis jalanan bukan meminta simpati dari sesiapa namun setiap helaan nafasku di bumi ini aku cuba belajar sesuatu yang baru.Walaupun kadangkala aku sesak dan lelah dalam mengatur waktu. Aku cuba pastikan ada sesuatu dalam diri yang perlu aku belajar dan menghayati.

Kadangkala aku tertanya adakah masa yang diperuntukan ALLAH sebanyak 24 jam sehari ini tidak mencukupi untuk aku mempelajari sesuatu dan memanfaatkannya sebaik mungkin? Sibuk hanya alasan, yang pasti setiap orang diberi masa yang sama. Tapi macam mana mereka boleh gemilang dan cemerlang dari aku? Sebab mereka melakukan apa yang aku tak lakukan. Sebab mereka bijak mengatur segala bukan seperti aku. Tegar mengadap komputer melayan internet. Sibuk membalas forum cinta seolah aku ini adalah doktor cinta.

Sesekali aku tergelak dengan kejahilan sendiri. Untuk apa aku buat semua itu. Apa yang aku dapat daripada melayani masalah orang sedangkan kepalaku turut berserabut dalam menyelesaikannya. Tapi yang pasti aku suka. Yang pasti aku gemar memberi pendapatku yang naïf ini. Bukan untuk tunjuk pandai sebab aku tahu sebagai manusia kepandaian aku terhad. Tapi aku memang gemar berbicara. Berbicara tanpa mengeluarkan suara hanya menekan di papan kekunci. Salahkah?

Aku mula belajar memahami persekitaran, belajar membekukan keadaan, belajar menghayati segala keindahan dan cuba memahami kicauan burung serta unggas kerna aku betul-betul ingin menjadi seperti mereka. Dapat membekukan keadaan mengambarkannya melalui penulisan. Sehingga setiap benda yang kecil dihayati, sampai dengupan jantungpun mereka bisa mengambarkan. Betapa aku kagum dalam menghayati sentuhan tinta mereka. Terasa benarlah aku ini hanya penulis jalanan.Terlalu!

Aku melangkah lagi cuba menjejaki nama mereka-mereka yang mula mekar dan harum dalam bidang penulisan ini. Aku mula kenal Faisal Tehrani bukan dengan orangnya tapi aku kenal dia melalui penulisannya. Ingat lagi sewaktu di universiti seorang sahabatku memang gemar membaca novel. Antara novel yang dibacanya adalah karya Faisal Tehrani, Sharifah Abu Salem dan banyak lagi. Yang pasti dia memuji karya Faisal Tehrani. Aku hanya memandang sepi kerna detik itu aku belum lagi ditemukan dengan novel yang bermutu. Maka aku tidak berkeinginan untuk membacanya. Pengalaman membaca novel di zaman sekolah membuat aku menilai semua novel adalah sama.

Padaku novel, lebih pada kecintaan yang di luar batas keimanan. Mana bisa lelaki dan perempuan di gambarkan berpegangan tangan tanpa ikatan yang sah. Mana bisa mereka boleh menobatkan panggung wayang itu seolah tempat yang tidak mendatangkan apa-apa keburukan. Aku tak tega menerima walaupun kebanyakkan pemudi dan pemuda itu sebegitu. Aku tak rela bila bangsaku di gambarkan seolah-olah kebaratan itu telah merasuki mereka. Aku benci bila kebanyakkan penulis mengambarkan kepincangan remaja itu adalah perkara biasa. Bagiku apa yang ditulis itu bakal dijadikan contoh pembaca. Maka aku mula mencari penulis yang memenuhi kemahuanku. Maka aku jumpa nama Zaid Akhtar sedikit kagum dengan persatuan PERMAYA, Faisal Tehrani, aku jumpa nama Sharifah Abu Salim, aku suka karyanya yang kebanyakkan cerita alam rumah tangga yang mana aku boleh menerima andai ada adegan romantik pada watak-watak utama kerana padaku dalam perkahwinan itu romantik itu perlu dan aku pasti ikatan pernikahan itu telah menghalalkan segala sentuhan yang digambarkan.

Ha..ha mesti korang rasa aku terlalu kolot bukan! Memang aku kolot..kerana ilmu-Nya yang luas ini masih belum aku jelajahi, aku masih terlalu jauh untuk mengejar tapi aku bisa berlari walaupun sesekali aku tersungkur, walaupun sesekali aku hampir tewas.Putus semangat tidak sekali. Akan aku teruskan menulis kerna telah aku katakan aku telah jatuh cinta pada pena yang berkuasa menarikan bicara. Aku ingin menjadi pembaca sebelum melangkah ke alam penulisan.. syukran buat insan yang memberi ruang dan peluang. Jasamu akan kukenang. Tak perlu kunyatakan siapa kerna ucapan ikhlas ini akan sampai jua padanya. Dari kejauhan ini aku berdoa agar limpahan rahmat dariNya untuknya. Syukran.

Monday, September 19, 2005

Sajak Cinta Yalin

Cetera silam

Meladeni rasa

Animo seangin

Mengagulkan lara

Membisik aksam setia.

Bicara cinta buta

Menyusuri kepastian.

Makna cinta hakiki

insanYalin 05

Wednesday, September 14, 2005

Kita Sering

kita sering bertanya mengapa
tapi lupa untuk menyata
lupa untuk mencari penyelesaiannya
lupa persoalan bagaimana

kita sering menyalahkan suasana
sering menunding jari pada insan di sana
lupa kewujudan diri di sini
lupa mencari kesalahan sendiri

kita sering berduka cita
sering melihat diri derita
lupa pada kelebihan yang wujud di depan mata
masih suka membandingkan insan lain dengan kita

kita sebenarnya apa yg kita sangka
nasib kita tak sama dengan mereka
tapi kita ada kelebihan yang tiada pada mereka
bersyukurlah
sesekali membanding tak salah
yang salah bila kita terlalu membanding
sehingga terlihat diri terlalu kerdil
sehingga menganggap kejayaan itu bukan milik kita

Nay 05

p/s:Buat Brad syukran atas hadiah blog ini pada ana. kalau tak alamat tak ber'blog'lah mak cik lina selamanya. Wasalam.

Tuesday, September 13, 2005

PeSaNaN AyAh

HIDUP JANGAN LUPA DIRI, KERANA DI PEGHUJUNG HIDUPMU ADALAH MATI. TIADA SESIAPA YANG BISA LARI, MATI PASTI MATI, PERSIAPKAN DIRI UNTUK BERTEMU TUHANMU DENGAN WAJAH BERSERI, UNTUK MENERIMA SEGALA PERCATURAN MELALUI TANGAN KANAN BUKANNYA TANGAN KIRI, AGAR DIRIMU SENTIASA BERADA DI BAWAH ARASH-NYA NANTI, SUPAYA ROHMU BISA MELINTASI TITIAN SIHAROTULMUSTAKIM DENGAN PANTAS SEKALI. AWAS!!! JANGAN ASYIK LEKA MEMBILANG SEGALA HARTA BENDAMU DI DUNIA, DAN ENGKAU TERLUPA MEMBILANG PAHALA SEBAGAI BEKALAN HIDUPMU DI ALAM YANG TIGA, KUBUR, MAHSHAR DAN AKHIRAT YANG KEKAL BUAT SELAMA-LAMANYA. INGAT, INGAT, INGAT, MASIH ADA MASA SELAGI KITA MASIH SIHAT DAN SELAGI KITA BELUM DISEMBAHYANGKAN.

INGATAN INSAN DEWASA,
AGAR TIDAK MENYESAL NANTI [DARI AYAHMU SENDIRI ]

BiCaRa CiNtA

Prasasti Cinta

Tertanam prasasti itu di jendela hati
Terpahat kukuh!
Terukir teguh!
Berantuk tukul taqwa
Menerpa batu iman
Hasilan ukiran kilauan cinta
bersulam peraturan
Tukul yang menempa berbunyi ingatan
Cinta insan walau menyentuh langit tujuh
Walau seluas buana
Jangan menjangkaui kasih TUHAN
Agar prasasti cinta itu tidak ternoda
Agar prasasti cinta itu
Tercatat darma intuisi aulia

Yalin 05