Monday, February 27, 2006

jEJaKA iDaMAn yALiN...

Image hosting by Photobucket
Dia biasa sahaja di mataku
Walau secara diam dia menambah gelora di jiwaku
Dia sederhana sahaja di mataku
Namun kesederhanaannya mencuri tangkai hatiku
Dia bukan setampan mana
Tapi akhlaknya itu menarik perhatianku
Dia bukan jutawan
Tapi agamanya itu menarik seluruh impianku
Membina mahligai dengannya
Dia... dia yang membuat aku bahagia
Moga dia juga merasai apa yang aku rasa!

Yalin 06


Image hosting by Photobucket


Cerpen Yalin BS93.

Image hosting by Photobucket

Wednesday, February 22, 2006

KesilapanKu...

KESILAPAN YALIN
Dalam hidup ini kita tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Memang salah saya. Buat sesuatu tak fikir masak-masak. Saya dah buat orang kecil hati .Melakukan sesuatu yang haq tapi tak betul cara.Saya dihimpit rasa bersalah yang teramat. Saya harap Puan Sofiah tidak kecil hati dengan saya. InsyaAllah saya janji saya tak buat lagi. Puan Sofiah majikan saya yang paling baik. Saya sebenarnya mencari keikhlasan dalam setiap perilaku saya. Dalam saya berusaha hendak mencari keikhlasan tanpa sedar saya menyakiti hati orang. InsyaAllah peristiwa ini saya jadikan pengajaran dan teladan dalam hidup saya. Maafkan saya. Maafkan saya.

SAYA YANG SERBA SALAH
Nany msg saya. Dia mengajar tuisyen sejam RM25 ringgit. Saya tumpang gembira buat dia sebab dia berada di Langkawi. Saya pula RM 30 per 4 jam untuk pelajar sekolah menengah 3 dan 4, RM25 per 4 jam bagi pelajar sekolah menengah 1,2 dan 3. RM 20 per 4 jam untuk pelajar sekolah rendah. Kalau dikira sejam saya dapat paling tinggi RM 7.50. Saya buat HomeTuisyen. Bila saya mengajar di pusat Tuisyen saya dapat RM16 sejam. Saya rasa betapa murahnya kadar bayaran yang saya kenakan. Saya mula rasa ralat mengajar dari rumah ke rumah. Patutkah saya bersuara? Saya takut sangat tindakan saya menaikan harga secara mendadak membuat banyak insan sakit hati. Apa yang patut saya buat? Perlukah saya jaga hati orang dengan melupakan kebajikan buat diri saya? Saya yang serba salah!!!!

Permataku Haziq
Haziq sudah pandai jalan dengan machonya. Dia dah masuk 9 bulan pada 17 haribulan ari itu. 9 bulan usianya tapi Haziq saya ini dah ada banyak gigi, dah pandai jalan, dah pandai segalanya. Comel sangat-sangat. Tapi dia tak reti merangkak. Hahaha itu yang buat saya tergelak. Kerenahnya mencuit hati saya. Saya suka usik dia. Kejar dia sampai dia lari kelam kabut dekat nenek dia yakni mak saya. Haziq.. haziq anak sedara mak uda ini memang comel. Nantilah saya letak gambar comel dia menghiasi blog saya.

Catatan InsanYalin.
Saya ponteng tuisyen hari ini. Entah mana slogan KERJA adalah HOBI itu saya cicirkan? Saya kena kutip balik… KERJA ITU HOBI!! MENULIS ITU KEMESTIAN!!!

Thursday, February 16, 2006

Ketukan MinDa

oleh: Maszlee Malik


''Sesungguhnya mukmin itu bersaudara'' (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua ayat dah hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seseorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang bermakna "persaudaraan" seriang dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di tahun 70-an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu itu hanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Penjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwwah".

Cinta Remaja Dakwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta Ukhuwwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

SMS, Yahoo Messenger, e-mail dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai... kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta "anta-anti" ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat. wal'iyadhubillah...

Salah Faham Ukhuwwah fillah
Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar SMS, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai tersebut. Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, SMS dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "Ukhuwwah fillah kekal abadi''... sekali lagi makna ukhuwwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui e-mail, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu "jemaah" dengan mereka. Aduh... lagi hebat daripada filem "Love Story" yang pernah popular di tahun-tahun 70-an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema "ukhuwwah fillah" menjadi "camouflagde" ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga. Sekali lagi slogan "ukhuwwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka... ini yang paling menarik. Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70-an dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan "Abuya"nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhuwwah fillah membawa ke Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

(Diperolehi daripada Majalah i edisi Bulan Februari)

Sunday, February 12, 2006

Catatan Beku...

Salam. Catatan Yalin bermula setelah hampir beku beberapa hari beralih minggu.Di sebabkan kerja adalah hobi, baru saya perasan yang rupanya saya ini bekerja 7 hari seminggu. Huhu maka tiba-tiba datang ilham untuk saya membuat peraturan Home tuisyen bersama cikgu Yalin. Antaranya ialah:

1. Kelas tuisyen tidak akan diadakan pada cuti awam. Maka mana-mana pelajar yang kelasnya jatuh pada hari cuti awan, kelasnya tidak akan diganti. Contoh cuti awan, hari keputeraan Sultan Perak, Hari Wesak, Hari Raya Haji, Hari Raya Puasa (cuti dua hari), Maulidur Rasul, Tahun Baru Cina, dan sebagainya. Namun bayarannya penuh… (sama dengan pusat tuisyen yang lain). Hehehe…

2. Kelas ganti akan diadakan jika terdapat masalah/keuzuran pada diri saya atau pelajar yang terbabit. Tapi pastikan pelajar berkenaan memberitahu saya seawal mungkin jika mahu kelas hari itu dibatalkan. Jika saya telah sampai ke rumah mereka, tiba-tiba mereka meminta kelas dibatalkan. Saya tetap akan kenakan bayaran. Tapi jika masalah itu benar-benar tidak dapat dielakkan dan alasan itu boleh diterima bayaran tidak akan dikenakan.

3. Yuran, saya harap yuran dapat dilangsaikan pada akhir bulan atau dalam minggu pertama bulan baru. Jika benar-benar ada masalah saya boleh bertolak ansur dengan syarat saya diberitahu terlebih dahulu.

4. Sebarang teguran atau cadangan dari ibu bapa tentang cara pembelajaran/pengajaran saya boleh dibuat terus kepada saya. Atau hantar sahaja e-mail menerusi alamat nenek2000@hotmail.com atau fagerilallah@hotmail.com atau hubungi saya di talian 05-370####/ 012-#######

5. Saya akan berusaha memahamkan pelajar saya. Dan saya akan memberi ujian dan juga latihan kepada mereka. Sebarang perkembangan atau kemerosotan dalam pelajaran boleh dirujuk pada saya. Cuma apa yang ingin saya jelaskan, saya cuma mengajar dan cuba memahamkan mereka, segalanya bergantung pada usaha mereka sendiri

Hehehe… ok tak peraturan saya ini. Hidup perlu ada peraturan ya tak?

Aktiviti Yalin:

1. Minggu ini saya sibuk buat nota untuk students saya. Sambil itu saya curi-curi masa membuat cerpen dan menghabiskan buku yang saya beli.

2. Intro cerpen baru saya… heheheh ok tak?

Dia biasa sahaja di mataku

Walau secara diam dia menambah gelora di jiwaku

Dia sederhana sahaja di mataku

Namun kesederhanaanya mencuri tangkai hatiku

Dia bukan setampan mana

Tapi akhlaknya itu menarik perhatianku

Dia bukan jutawan

Tapi agamanya itu menarik seluruh impianku

Membina mahligai dengannya

Dia..dia yang membuat aku bahagia

Moga dia juga merasai apa yang aku rasa!

3. Baru saya perasan saya dah lama tak buat SAJEN dan PUISI… masa terlalu mencemburui saya, atau saya yang tak reti membahagikan masa. L

Eksperimentasi diri bermula (Pinjam ayat SHE) kuang kuang kuang!

InsanYalin | 2 Muharam 1427

Hidup Biar Ikhlas dan Berjasa

Friday, February 03, 2006

Salam Maal Hijrah 1427H

Salam Maal Hijrah. Maaf terlalu ripuh hingga membiarkan blog ini beku seperti salji yang salju menghiasi blog ini. Biru itu menawan bukan. Hijrah bermakna berpindah.Namun dalam konteks tamadun Islam, Hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Kota Madinah dalam usaha memperkukuhkan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam. Pengertiannya luas dan mendalam yakni perjuangan untuk menegakkan kebenaran serta meninggalkan segala keburukan dan kejahatan. Moga dengan peristiwa Hijrah ini memberi seribu manfaat dan perubahan pada kita. Dari kecelaruan menjadi lebih jelas. Dari kesuraman kita menuju cahaya. Salam maal Hijrah.
Saya baru membeli BS 91. Mati-mati saya ingat yang penulis cerpennya itu bukan saya. Rupanya tercatat comel nama saya sebagai pemilik karya. Destinasi Cinta oleh Yalin. Destinasi cinta yang kucari sebenarnya terlalu hampiri, hanya kabus kerana dosa di dalam hati, telah ku redah daerah cinta, yang lahir dari wadah yang alpa, tiada tenang yang kutemui hanya derita. Lirik lagu kumpulan nasyid kegemaran saya mestika. Lagu itu lagu ketuhanan. Lagu mencari cinta tuhan tapi kabur lantaran dosa yang dilakukan. Destinasi cinta tajuk yang sifu saya berikan. Syukran sifu atas menghaluskan mengkuang kata ana kepada bicara sutera. Awalnya tajuk cerpen itu adalah ‘Terjaga’ terjaga lantaran kesedaran cinta manusia itu tiada apa-apa. Hanya talun cintanya berbicara hebat sedangkan isinya serupa hampas yang tak berguna, jika nak dibandingkan dengan cinta ALLAH yang bukan sahaja bicara suteranya hebat, malah segala isi dan kandungannya ternyata mantap dan bergemerlapan. Cinta manusia akan pergi jika kesetian tak mati mungkin jasad terpisah dari roh maka perpisahan pasti terjadi dan dimanakah yang sejati dan kekal abadi?. Haruskah ku biarkan diri ini dihembus semilir cinta, andai ianya hanya seketika cuma. Nyaman yang sementara. Entahlah.. Salam and wasalam.
Catatan malas Yalin.