Sunday, July 25, 2021

Puisi Untuk Pemilik nyawa dan rohku

Setiap yang ada padaku milikMu
Segala disekelilingku dibawah takbirMu
Setiap nadi berdegup dalam izinMu
Setiap lagu kehidupan dalam rancanganMu
Setiap yang berlaku dalam pengetahuanMu
Seluruh alam ini dalam kekuasaMu

Aku tiada daya
Aku tiada upaya
Aku tiada apa-apa
setiap tahuku dalam pengetahuanMu
setiap nafasku dalam kasih sayangMu
setiap fikirku tiada yang tidak dapat Kau tembusi
setiap niatku Kau yang lebih dulu mengetahui
setiap  akal jahat dan baikku kau lebih tahu
Kau yang memegang hati-hati ini

Bantulah kami sentiasa mengingatiMu
Bantulah kami mensyukuri NikmatMu
Bantulah kami dalam membaiki ibadat kami kepadaMu
Tetapkan iman kami melayari dunia fana ini
Hidupkan kami dalam iman
Matikan kami dalam  iman
Bangkitkan kami dalam iman
Masukkan kami kesyurgaMu dengan rahmat dan kasih sayangMu 
dengan iman.

Pilihlah aku ya Allah, 
Kerana aku tiada apa-apa tanpa kasih sayangMu

ImanYalin
25.7.2021




Ilmu itu bila dicari terasa banyak benar perkara yang kita tak tahu.


Mendengar ceramah dari Ustaz Wadi agak terkesan di jiwa. Manusia memang sedang mati, dan hanya akan HIDUP apabila dia mati. Bila matinya anak Adam, maka di situlah bermula kehidupan yang sebenar. Terasa begitu jauh untuk sampai ke destinasi terakhir sama ada syurga atau neraka. Semua manusia akan melihat neraka dan akan sedikit sekali akan merasai nikmatnya syurga. 

Bila mendengar tubuh ahli neraka akan menjadi besar, gigi sahaja sebesar bukit Uhud, maha suci Allah yang menciptakan. Tak dapat dibayangkan kesakitan apabila reseptor kulit akan menerima rangsangan kesakitan akibat kebakaran. Bukan api biasa, tapi panasnya berganda-ganda. Dengan tubuh yang dijadikan begitu besar, dengan kebakaran yang dialami, kesakitan yang tidak dapat dibayangkan oleh akal. Jumlah Luas permukaan yang besar, pasti sahaja kesakitan juga maha besar. 

Jika di dunia kebakaran ada tahapnya, kebakaran tahap keempat walaupun teruk, kesakitan sudah tidak terasa kerana matinya reseptor kulit yang menerima rangsangan, di akhirat reseptor yang rosak itu akan digantikan berkali-kali, agar nikmat kesakitan akan terus dirasai, hadiah dari pilihan yang mengikut kata nafsu syaitan. Nikmat di dunia, asyik di dunia fana tapi sengsara berpanjangan di hari sebenar yang di namakan  kehidupan.

Manusia ini tiada apa-apa, moga Allah sentiasa memilih kita. Teringat kisah kematian bapa saudari Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Talib. menurut ceramah Ustaz Wadi dari video yang ditonton, Nabi Muhammad SAW sangat berharap agar bapa saudaranya itu memeluk Islam. Tetapi Allah memberi peringatan, hidayah itu milik Allah. Ustaz Wadi pesan, kita yang dilahirkan sebagai Islam ini merupakan pilihan Allah. Allah pilih kita, Allah juga minta kita berdoa agar keimanan kita sentiasa subur dan mekar mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadanya. Antara doa yang diajar Nabi SAW ialah

Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu

Bantulah kami dalam mensyukuri  nikmatMu

Bantulah kami dalam memperbaiki ibadat kami  kepadaMu.


Benarlah doa itu senjata orang mukmin. Teringat diri selalu sangat lemah dalam hasutan nafsu, puasa sunat isnin pagi, tengah hari dah buka puasa. Puasa lagi sunat hari khamis pukul 4 gigih buka puasa. Mencari bagaimana kaedah memantapkan iman yang tak mantap ini. Bertanya pada ustazah di sekolah. Bertanya pada semua, akhirnya jawapan tentang amalan doa ini membuka mata. Berdoa, berharap agar Allah sentiasa memilih kita ke jalan kebaikan, berdoa agar Allah membantu kita dalam melaksanakan ibadat, berdoa agar Allah mengerakkan hati, jiwa dan tubuh badan kita dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Manusia tiada daya, jika kita rasa segala amalan yang kita buat datangnya dari diri kita sendiri yang gigih berusaha, menanglah syaitan dalam usaha memusnahkan nilai ibadah kita pada Allah.

Ya Allah dengan rasa diri yang penuh dosa, bantulah aku agar sentiasa mengingatiMu, dalam diri yang kurang bersyukur ingatkan aku agar sentiasa mensyukuriMu, dalam kepincanganku melaksanakan ibadat, bantulah aku dalam memperbaiki ibadahku padaMu ya Allah. 

Aku hambaMu yang lemah tanpa pertolongan dan kasih sayangMu aku tiada apa-apa wahai Allah. 

#makinkitabelajarmakinbanyakkitataktahu

#makinkitabelajarmakinrasakasihnyaNabibuatkita

#makinkitabelajarterasaAllahituMahaMahaMahabaiknya

#makinkitabelajarterasatiadadayaakuinitanpaNya



Sunday, July 18, 2021

Usrah dan Ukhwah



Simpan sebagai kenangan ukhwah. Usrah online yang dilaksanakan sepanjang musim pandemik untuk kali kedua. Alhamdulillah dikurniakan teman seperjuangan dalam kalangan ustazah-ustazah yang hebat! Alhamdulillah. Ambil berkat.

#Alhamdulillah
#Allahtempatmengadudanmemintapertolongan 

Friday, July 09, 2021

Sahabat Dunia Akhirat.




Lama tidak bersua. Semalam Allah memberi kesempatan untuk kami bersua, walau secara online google meet terasa meriahnya. Alhamdulillah. Antara sahabat baik (alam perkejaan) yang selalu ada dalam keadaan susah senang dulu ketika mereka bersama-sama mengajar di MTI. Sekarang dua darinya adalah X-MTI dan seorang bakal kembali ke MTI. Alhamdulillah, nikmat mana yang ingin dustakan.

Bermula perjumpaan dari pukul 9.30 sehingga 11 malam. Haha tak sedar masa berlalu. PLC tentang keluarga dan kehidupan. Bagaimana menguruskan anak disamping kewajipan PDPR dan lain lain. Indah benar jika ukhwah kerana Allah, bukan kepentingan dunia semata atau ada agenda tersirat  Ukhwah itu akan tahan lebih lama. Bila jauh akan merindu, bila dekat akan bahagia. 

Persahabatan harus disaluti dengan rasa percaya.Andai anda bersahabat lebih  lama dengan saya kemudian hadirnya sahabat kedua dan ketiga yang datang dan anda tidak mempercayai saya maka itu adalah kesakitan. Bila bersahabat sepatutnya tiada rasa cemburu jika bersama-sama. Rasa cemburu adalah tidak baik. Cemburu akan mengundang hasutan syaitan untuk anda menjatuhkan sahabat anda agar anda dapat dekat dengan sasaran anda (sahabat yang lain).

Jika bersahabat, jika ada yang memburukan sahabat yang lain. Itu bukan sahabat namanya. Di depan lain di belakang lain juga bukan namanya sahabat. Kita boleh nilai sahabat yang tulus dan sahabat yang benar-benar ingin bersahabat dengan kita atau ada agenda yang tersembunyi. Itulah dunia. Tiada yang mustahil dalam dunia yang penuh tipu daya. 

Bagi menyedapkan hati, ingatlah setiap yang berlaku disebabkan ketentuan Allah. Segala yang terjadi tidak akan terjadi tanpa izinNya. Bila kita disakiti, ada musibah yang datang,  rupanya Allah nak tegur kita. Allah nak ingatkan kita. Allah sangat sayang kita. Ingat kita merancang dalam merealisasikan cita-cita. Allah merancang dalam cintaNya yang maha luas buat kita.

Walau ada persahabatan kita yang tewas, ada lagi persahabatan yang indah. Ada lagi persahabatn yang jujur yang akan membuat hatimu bahagia. Sahabat di alam persekolahan, sahabat sekolah menengah, sahabat matrik, sahabat semasa di universiti, sahabat semasa anda berjumpa dalam satu aktiviti perguruan, dan lain lain. Alangkah indahnya persahabatan itu. Menjalin persahabatan ibarat mengarang dan mencipta sebuah buku. Memusnahkan persahabatan itu seolah olah seperti kita membakar lembaran buku itu tanpa perlu bersusah payah. Lebih susah membina dari menghancurkan bukan. 

Tapi alhamdulillah dikelilingi sahabat sahabat yang baik. Terima kasih Allah. Akan ku pegang persahabatan ini sehabis baik. Membina ukhwah atas kecintaanku padaMu, Allah. 

#sayasygAllah
#sayasygkeluargasy
#setiapkejadianadahikmah
#husnuzon
#bahagiakitaygcipta


Thursday, July 08, 2021

Tentang Lukisan





Sebuah kajian yang melihat bagaimana aktiviti melukis di kalangan kanak-kanak dapat menunjukkan faktor emosi yang mempengaruhi kesedihan kanak-kanak. 

Kajian dibuat terhadap 224 orang murid di sekolah rendah. Mereka diminta menggambarkan kesedihan mereka dalam bentuk lukisan. Hasil dari kajian tersebut menunjukkan faktor paling besar yang menyebabkan kesedihan pada kanak-kanak ialah keganasan yang berlaku di persekitaran atau kepada diri mereka sendiri.  

Dalam laporan kajian tersebut ada juga dikongsikan gambaran/simbol yang selalunya ada dalam lukisan kanak-kanak yang mengalami pengalaman di dera ini. Antaranya tanda - tanda tersebut ialah : 
1. Hujan
2. Air mata dan emosi muka sedih
3. melukis gambaran waktu malam
4. rumah yang digambarkan sebagai sempit.
Ada lagi beberapa tanda yang turut digunakan oleh kebanyakan kanak-kanak dalam kajian ini yang menggambarkan kesedihan mereka. 

Ingin tahu apa lagi gambaran simbol dan petunjuk yang kerap digunakan oleh kanak-kanak dalam lukisan mereka. Teroka pada pautan di bahagian komen yang pertama.




Iman Yalin
Saya memang suka melukis, dan anak anak saya gemar melukis. Bila saya menyertai bengkel ni banyak yang saya belajar, sesi sokongan selama tiga puluh hari ada link yang diberi setiap mingu untuk kita sama-sama menerokai apa yang terdapat dalam hati dengan melukis. Semalam ada kelas sokongan pada sebelah malam. Saya tak sempat nak sertai. Tapi alhamdulillah ada rakan bengkel yang berkongsi. Sebenarnya saya agak tertarik dan tertanya bagaimana ada perkaitan antara lukisan yang dilukis dengan emosi, halangan dan cabaran yang dihadapi pelukis.  Segalanya menarik tentang Bengkel Rahsia Lukisan ini. Ada 3 syarat penting yang perlu diketahui dalam kita mentafsir sesebuah lukisan. Apakah syaratnya? 

Mengetahui bukan untuk kita menilai dan mencari salah. Mengetahui adalah untuk kita perbaiki keadaan dan menambah keamanan dan keadilan. Hidup itu sangat singkat untuk kita bersengeta, menyalahkan orang lain dan mencari gaduh. Hiduplah dengan bahagia, agar hidup yang singkat ini menjamin keamanan dan kebahagian di hari di mana kita sebenar-benarnya hidup.

#sayasygAllah
#bahagiakitaygcipta
#ilmuyangbermanfaat


Tuesday, July 06, 2021

Cermin mata buat si pemakai cermin mata



Sudah beberapa minggu bingkai cermin mata saya patah. Malas nak pergi kedai kaca mata sorang-sorang. Selagi boleh tampal, saya tampal menggunakan stationary tape. Maka kelihatanlah aneh sikit di tepi tangkai kaca mata belah kanan. Beberapa kali juga saya tukar balutan stationary tape nya apabila terkena air. Alhamdulillah kembali kelihatan baik.

Hari ini, sedang sibuk menyediakan persiapan untuk kelas tiba tiba terkejut melihat My Sejahtera sudah ada notification tentang vaksin. Tarikh dan masa telah tertera pada hari ini pukul 11.30 pagi sedangkan sekarang sedang pukul 10 pagi. Terkejut, terus bersiap untuk menerima suntikan. Kelas hari ini terpaksa dibuat dalam ketidak sempurnaan. Pelajar hanya diminta membaca buku teks dengan tajuk yang diberikan. Janji dengan anak murid kelas ini akan disempurnakan pada sebelah malam. Tarikh akan diberitahu nanti.

Maka pergilah saya ke pusat mengambil suntikan dengan ditemani suami tercinta, alhamdulillah pengurusan yang baik. Tidak perlu tunggu berlama-lamaan. Segalanya teratur.Jururawat berpangkat Sister yang memberi suntikan juga sangat profesional sehingga tidak terasa jarum masuk ke bahu.Alhamdulillah. Selepas disuntik diminta menunggu selama 15 minit lagi bagi memastikan tiada tanda-tanda tindak balas yang buruk berlaku. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan.

Setelah selesai saya keluar dari pusat pemberi vaksin, menuju ke arah kereta suami yang terletak di luar bangunan. Semasa di dalam kereta barulah Encik Suami perasan cermin mata saya dibaluti stationary tape dengan agak tebal dan panjang. Dia tergelak besar. Padanya hanya kerosakkan kecil rupanya sebaliknya.

Saya kata padanya, saya tak sempat nak fikir pasal cermin mata saya. Asal masih boleh pakai dan selesa itu sudah memadai. Tambahan perintah kawalan pergerakan yang melanda, mana bisa kita keluar rumah sesuka hati kan, maka saya redha dan bersyukur dengan apa yang ada. Saya sendiri tidak perasan adakah insan lain perasan akan cermin mata saya yang sakit dibaluti stationary tape itu semasa dalam proses menunggu giliran untuk di vaksin. Tergelak sendiri memikirkannya.

 Akhirnya Allah beri pelangi apabila suami terus membawa saya ke kedai cermin mata untuk membaiki bingkainya. Opss tidak boleh diperbaiki lagi, hanya boleh menukar bingkai cermin mata yang baru. 
Alhamdulillah... alhamdulillah apa lagi yang boleh saya katakan. Dalam fasa terkejut dipanggil untuk di vaksin, rupanya Allah beri ruang dan kesempatan buat si pemakai cermin mata memakai cermin mata yang baru walau hanya bingkai sahaja yang ditukar.

Hidup perlu sentiasa berasa cukup dan bersyukur. Bila kita bersyukur Allah akan tambah nikmatnya. Apa nikmat yang saya dapat dari kesabaran memakai spek mata yang sakit? Ya, akhirnya saya dapat bingkai yang baru. Yes!! tanpa mengeluarkan duit sendiri ada orang belanja.

#hidupperlusentiasabersyukur
#hunsuzon
#SayasygAllah

Monday, July 05, 2021

Novel Guru AiNi


Tajuk Buku: Guru Aini
Bilangan Muka Surat: 293
Penulis:Andrea Hirata

Sinopsis 
Desi memilih kursus Diploma Tiga atau D-3 yang diselengarakan oleh kerajaan untuk mencetak guru-guru matematik. Lulusannya dilantik menjadi kakitangan kerajaan dan harus bersedia mengajar di seluruh wilayah sumatera. Dia memilih untuk menjadi guru matematik walau ada penentangan di pihak keluargannya. Akhirnya keluarganya akur dengan kehendaknya. Desi merupakan pelajar pintar dan dialah graduan terbaik kursus Diploma Tiga. Semangatnya berkobar ingin menjadi guru matematik seperti Guru Malis.

Setelah tamat kursus D-3, tibalah masa mahasiswa yang berjaya memilih penempatan baru mereka melalui undian. Desi pelajar pintar yang diberi keistimewaan untuk memilih tempat mengajarnya. Tetapi dia merupakan pelajar pertama yang tidak menggunakan keistimewaan itu, dia memilih untuk mencabut undi. Desi akhirnya  bertukar tempat dengan kawannya Salmah apabila dia melihat Salmah ditempatkan di kawasan yang benar-benar pendalaman dan Salmah menangis semahu mahunya. 

Desi orang yang mempunyai idealisme,baginya tanpa idealisme, orang akan hidup dengan menipu diri sendiri, dan tak ada yang lebih lelah daripada menipu diri sendiri.

Sampai di Ketumbi, postingnya yang pertama dia mencari pelajar yang cerdas matematik untuk dibimbing supaya menjadi orang yang genius matematik. Sumpah sepatunya berkata selagi dia tidak menemukan pelajar cerdas matematik, sepatunya tidak bisa berganti. Akhirnya dia berjumpa dengan Debut Awaludin yang menberikannya semangat, pelajar yang cerdas matematinya. Tetapi sayang Guru Desi dikecewakan, Debut lebih memilih rombangan 9 dari berjaya dalam matematik. Guru Desi rasa dikianati. Semangatnya terhempas di dasar. Sehinggalah hadirnya Aini, bermula dengan pelajar yang sangat bermasalah dengan pelajaran. Akhirnya menjadi jaguh matematik Aini yang tidak pernah berputus asa, dari markahnya nombor binary ( 0 dan 1) akhirnya sikit demi sedikit prestasinya meningkat. Walau dicemuh dimaki disakiti oleh Guru Desi, Aini tetap bersemangat untuk belajar dengan guru Desi. Semangatnya luar biasa apabila ayahnya jatuh sakit dan dia bercita-cita untuk menjadi doktor. 

Berkat kesungguhan Aini, akhirnya Guru Desi berjaya memecah kebuntuan Aini dalam matematik dengan menggunakan Kalkulus.Sejak dari itu sedikit demi sedikit Aini mula menempah kejayaan dan itu menyebabkan luka Guru Desi terubat dengan kehadiran Aini menggantikan Debut Awaludin.

Dalam kisah ini ada semangat guru yang membara juga semangat murid yang berapi. Guru Desi memang sanggup berkorban apa sahaja untuk matematik. Novel yang menyentuh hati penuh dengan idealisme seorang guru yang sangat kental dan kuat pendiriannya. Walau diakhir Novel ini kejayaan dibatasi oleh kemiskinan, orang yang miskin sering tiada hayat dalam mengapai kecemerlangan. Kewangan faktor pencantas kejayaan , banyak pengajaran semangat dan keindahan dalam novel ini. Tak rugi memilikinya.

Guru Desi, guru Aini yang berjaya mengubah Aini dari seorang yang biasa kepada seorang yang luar biasa. 

Ulasan Cikgu IMan Yalin
Guru Matematik  & Kimia SABK MTI
 

Sunday, July 04, 2021

BENGKEL RAHSIA LUKISAN





I

Lukisan kanak-kanak sebenarnya adalah satu bentuk komunikasi mereka dengan dunia luar mereka. Banyak maklumat yang boleh kita peroleh dari lukisan seorang kanak-kanak. 

Sebagai contoh, dari lukisan mereka kita boleh melihat kesediaan mereka untuk belajar dan adakah mereka dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru dalam bilik darjah.

Lukisan kanak-kanak yang dapat menyesuaikan diri biasanya mempunyai ciri-ciri berikut :
1. Penggunaan warna yang pelbagai, cerah dan terang. 
2. Penggunaan ruang yang maksimum pada kertas. 
3. Gambaran keseluruhan lukisan ceria dan harmoni. 
4. Melukis sambil mulut bercerita, bercakap, bertanya dan berkomunikasi dengan rakan
5. Banyak objek yang dilukis. 

Semasa melukis beri tumpuan kepada murid yang lukisannya punyai ciri-ciri berikut :
1. Banyak menggunakan warna hitam. 
2. Lukisan bersaiz kecil dan tertumpu pada kawasan kecil pada kertas. 
3. Sangat pasif ketika mewarna, lambat dan kelihatan teragak-agak. 
4. Ada tema destructive seperti watak orang dengan wajah sedih atau menangis, haiwan mati atau barang yang rosak. 

Dengan kanak-kanak yang lukisannya sebegini banyakkan berbual dengan mereka, beri hadiah kecil seperti pencil atau pemadam atau kenalkan rakan baru kepada mereka untuk duduk sama dan mewarna. Ini untuk membantu mereka rasa lebih 'safe and secure' ketika berada dalam bilik darjah. 

Lukisan kanak-kanak sememangnya punyai seribu makna. Belajar meneroka makna tersebut.

II

Melihat gambar sahaja sudah membayangkan penderitaan yang dialami kanak-kanak ini. Maaf jika tuan-tuan dan puan-puan kurang selesa jika saya terlalu kerap menulis tentang topik ini. Atas dasar keperluan saya berkongsi supaya kita tidak menyesal dikemudian hari. 

Ini adalah antara koleksi lukisan yang disimpan oleh Prof Dr Frida Brigg. Lukisan-lukisan inilah yang membantu beliau mengesan penderaan seksual yang berlaku ke atas kanak-kanak ini. Salah satu lukisan ini, dilukis oleh seorang kanak-kanak berusia 7 tahun di dinding sekolahnya. Seorang kanak-kanak yang sangat manja dan begitu mudah menempel dengan gurunya.  Melintasi lukisan di dinding tersebut sudah cukup membuatkan si Profesor ini gelisah. Tidak lama kemudian, kegelisahan beliau ternyata berasas apabila siasatan mendapati kanak-kanak itu sudah beberapa tahun didera secara seksual olah abangnya. sendiri. 

Rakan-rakan yang budiman,
Ada dua keadaan lukisan yang selalu dilukis oleh kanak-kanak yang menunjukkan mereka menjadi mangsa kepada penderaan seksual. 
1. Symbol of Armless bila melukis dirinya sendiri
2. Symbol of third arm bila melukis pelaku

Ya, kanak-kanak yang menjadi mangsa sering selalunya akan melukis diri mereka tanpa tangan. Mungkin menggambarkan ketidakupayaan mereka untuk melawan dan ketidakupayaan mereka untuk berbuat apa-apa bila dizalimi sedemikian. 

Dan bila melukis pelaku pula, kanak-kanak kebiasaannya akan melukis third arm yang sebenarnya kemaluan si pelaku. Kanak-kanak ini selalunya menggunakan istilah seperti worm, stick dan sebagainya untuk menggantikan nama alat sulit pelaku.

III

Apa yang kita boleh tahu dari sekeping lukisan?

Lukisan yang saya lampirkan di bawah adalah lukisan yang dilukis oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun.
Percaya atau tidak, dari lukisan tersebut, ada simbol yang menunjukkan beberapa perkara.

1. Ibubapa yang asyik marah dan memukul
2. Suasana rumah yang tegang dan tegas 
3. Cubaan melalukukan sesuatu yang tidak baik.
4. Sikap dingin terhadap keluarga
5. Keseorangan

Dalam sesi bengkel nanti kita akan lihat sama-sama apakah simbol tersebut dan bagaimana untuk mengesahkan maksud sesuatu simbol. 

Ini bukan ilmu telek atau ahli nujum. Ini ilmu sains di bawah bidang psikologi yang menggunakan kaedah projektif.

Berminat menyertainya, sila tekan link tersebut.. Perkara baik kita kongsi bersama-sama.
#hidupbiarikhlasdanberjasa

Saturday, July 03, 2021

Kembali setelah lama ditinggalkan

Rumah sepi ini rupanya telah lama kutinggalkan. Bersawang. Aku mencucinya kembali. Agar kekotoran beralih suci.Aku padamkan semua kenangan yang keanak-anakkan. Aku cucikan semua yang tidak perlu. Cukup hanya nanti segala yang baik baik yang indah indah sahaja yang ditemui. 

Iman Yalin, Insan Yalin, Yalina Insan, Putri Katak Nay, Katak Pisang, Katak Air, nama nama yang membuatkan aku tersenyum.
Nama samaran yang banyak ini membuat aku keliru dari menjadi penulis yang sukses. Maka akan ku gali kenangan, agar semangat terjana...